Wednesday, February 2, 2011

Tahun Baru Cina

Tahun Baru Cina 2011 (Tahun Arnab)
Negara Malaysia sebuah negara yang masyhur dengan adat dan budayanya. Negara ini merayakan beberapa perayaan besar dan akan disambut oleh seluruh rakyatnya. Tidak ketinggalan juga, Negara Malaysia merayakan perayaan Tahun Baru Cina. Pixs sebagai seorang rakyat Malaysia, perlulah tahu serba sedikit mengenai perayaan-perayaan yang dirayakan di negara ini. Pixs telah mengkaji tentang perayaan ini dan setelah membaca sedikit maklumat tentang perayaan ini, rasanya adalah lebih baik maklumat yang Pixs temui dikongsikan bersama. ^^

Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan.

Kalendar Qamari Cina
Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina di merata dunia, malah turut dirayakan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi oleh China dari segi kebudayaan dan keagamaan, maka turut memakai kalendar qamari Cina.

Hebatnya perayaan ini kerana menceritakan suatu mitos tentang seekor makhluk yang ganas bernama Nian. Sejarah Tahun Baru Cina ini bermula dengan kemunculan Nian yang menghuru-harakan rakyat di Tanah Besar China. Menurut legenda, Nián () ialah seekor raksasa pemakan manusia dari pergunungan (dalam versi-versi lain, dari bawah laut), yang muncul setiap 11 tahun, sekitar musim sejuk, untuk memburu manusia. Pelbagai cara dilakukan oleh rakyat China untuk menamatkan gangguan Nian. Mereka percaya bahawa Nian tidak tahan bunyi-bunyi bising dan tidak sukakan warna merah. Akhirnya mereka berjaya menakutkan makhluk ini dengan meletupkan mercun dan memakai pakaian berwarna merah.

Dalam menyambut Tahun Baru Cina, seisi keluarga Cina akan bergotong-royong membersihkan rumah mereka. Mereka percaya bahawa pembersihan ini menghalau nasib malang dan musibah yang menimpa pada tahun yang berlalu serta menyediakan rumah mereka untuk menjemput nasib baik. Penyapu dan pengumpul habuk disimpan pada malam sebelum Tahun Baru dan hari pertama agar nasib baik itu tidak boleh disapu keluar. Ada orang yang mengecat rumah, pintu dan sisi tingkap dengan warna merah. Rumah dihiasi potongan kertas yang ditulis pepatah mengucap kebahagiaan dan kemakmuran dalam bahasa Cina.

Tahun Baru Cina berlangsung selama 15 hari dan diakhiri oleh hari Cap Goh Mei, iaitu tanda berakhirnya Tahun Baru Cina. Setiap hari dalam Tahun Baru Cina itu mempunyai erti dan pengisiannya sendiri yang diamalkan oleh orang-orang Cina. Seperti biasa, kesemua ahli keluarga akan berkumpul dan  acara terbesar iaitu jamuan makan besar-besaran atau 'Jamuan Pertemuan Semula" akan diadakan.

Ang Pau
Terdapar beberapa amalan-amalan yang diadakan pada hari Tahun Baru Cina. Yang menariknya tentulah Ang Pau atau 'sampul merah' yang berisi duit. Bunga api dan mercun juga dimainkan dengan meriah namun dibeberapa negara, telah mengharamkan nyalaan bunga api dan mercun ini dan ditukarkan dengan mercun elektronik. Agak menyedihkan namun ini adalah untuk tujuaan keselamatan dan keharmonian sejagat.

Pakaian pula adalah yang melebihi warna merah. Dipercayai warna merah akan menakutkan roh jahat dan nasib malang. Tambahan, orang yang memakai baju baru dari kepala hingga kaki pula melambangkan permulaan baru pada tahun baru.

Juga terdapat pantang larang ketika perayaan ini disambut, antaranya ialah:

Tuah baik

  • Membuka pintu dan tingkap dianggap menjemput masuk tuah pada tahun baru.
  • Membiarkan lampu menyala semalaman dipercayai menghalau hantu dan puaka pembawa musibah yang mampu mempengaruhi nasib sekeluarga sepanjang tahun.
  • Gula-gula dan manisan dimakan untuk "memaniskan" nasib sepanjang tahun bagi pemakannya.
  • Pembersihan rumah di setiap sudut wajib dilangsungkan sebelum hari tahun baru agar mudah menerima tuah bagi tahun yang menjelang.
  • Ada orang yang percaya bahawa apa yang berlaku pada hari pertama mencerminkan peristiwa yang akan berlangsung sepanjang tahun. Maka, orang Asia mengambil kesempatan untuk berjudi pada hari pertama ini bagi menaruh harapan untuk menambah kekayaan.
  • Memakai selipar baru yang dibeli sebelum tahun baru bermaksud memijak orang yang bergosip tentang pemakainya.

Nasib Malang ("Tuah buruk")

  • Membeli kasut baru dianggap pembawa malang bagi sesetengah orang Cina kerana perkataan bahasa Kantonis bagi "kasut" sama bunyinya dengan perkataan "kasar" atau "sukar".
  • Membeli seluar baru juga dipandang sebagai pembawa malang kerana perkataan Kantonis bagi "seluar" sama bunyinya dengan "pahit". (Namun ada yang menganggapnya sebagai positif, kerana perkataan bagi "seluar" dalam dialek itu juga sama bunyinya dengan "kaya".)
  • Menggunting rambut juga ditegah kerana perkataan bagi rambut sama bunyinya dengan hasil. Maka menggunting rambut juga dipandang sebagai "memotong hasil dalam bahasa Kantonis".
  • Mencuci rambut juga dianggap sebagai mencuci keluar kekayaan (namun perihal kebersihan sering telah mengatasi tradisi ini.)
  • Menyapu lantai juga dilarang pada hari pertama kerana ini akan menyapu keluar tuah bagi tahun baru.
  • Perbualan mengenai kematian juga kurang sesuai bagi beberapa hari terawal Tahun Baru Cina kerana ini turut dianggap tidak bagus.
  • Membeli buku juga membawa malang kerana perkataan sesetengah dialek Cina bagi "buku" sebunyi dengan perkataan bagi "kalah".
Banyak lagi yang menarik tentang perayaan ini, namun untuk menceritakannya adalah sukar untuk Pixs kerana kekurangan sumber maklumat. Untuk pembaca sekalian, sama-samalah kita menyambut perayaan ini, bagi mereka yang bukan dari bangsa Cina, sama-samalah memeriahkan perayaan ini namun dengan cara ada dan agama masing-masing. ^^


Pixs mengucapkan,
SELAMAT TAHUN BARU CINA
untuk mereka yang merayakan perayaan ini, 
GONG XI FAT CHOI

No comments:

Post a Comment

Pautan Menarik

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...